Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi Air Selangor, Abdul Raof Ahmad berkata, kerja-kerja penggantian perkakasan giat dilaksanakan dan mengikut jadual.

Menurutnya, tempoh pemulihan dianggarkan dari 30 jam hingga 72 jam dan akan berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung pada lokasi geografi dan altitud premis pelanggan.

“Kerja-kerja penggantian peralatan telah bermula pada jam 9 pagi hari ini dan kerja-kerja sedang giat dilaksanakan.

“Air Selangor akan mengambil segala usaha untuk mempercepatkan kerja-kerja penggantian ini dan pemulihan bekalan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Abdul Raof berkata, pengguna juga dinasihatkan untuk mendapatkan makluman dan status terkini mengenai gangguan bekalan ini dengan merujuk saluran komunikasi rasmi Air Selangor.

Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kawasan di daerah Hulu Langat dan Petaling mendapati rata-rata penduduk sudah membuat persiapan sejak seminggu lalu sebaik sahaja notis gangguan dikeluarkan.

Penduduk yang ditemui bagaimanapun berharap pihak Air Selangor dapat melakukan kerja-kerja penggantian perkakasan dengan segera dan mengikut jadual bagi memudahkan urusan ha­rian mereka.

Bermula hari ini, kira-kira tiga juta pengguna terpaksa berdepan dengan gangguan bekalan air bagi memberi laluan kepada kerja penggantian perkakasan di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

Selain Kuala Langat, tiga lagi daerah lain turut terkesan de­ngan kerja-kerja ber­kenaan ia­itu di Sepang (86,000 pemegang akaun); Petaling (132,000) dan Hulu Langat (64,000) membabitkan seba­nyak 476 kawasan di keempat-empat daerah.

Menurut Abdul Raof lagi, lapan buah Pusat Khidmat Setempat (PKS) diaktifkan 24 jam sepanjang tempoh gangguan bekalan termasuk lori tangki turut digerakkan bagi memberikan bantuan kepada penduduk terjejas.