Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Mohd. Ridhuan Ismail berkata, mengikut laporan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd., bekalan air mula disalurkan kepada pengguna sejak pukul 5 pagi tadi.

“Paip pecah dikesan Sabtu lalu dan Pelan Tindakan Kecemasan diaktifkan pada pukul 9 malam pada hari tersebut. Disebabkan saiz paip yang besar, proses pengeringan mengambil tempoh masa lama sebelum kerja-kerja pembaikan dapat dimulakan.

“SPAN sentiasa memantau dan mengarahkan pihak Air Selangor menyegerakan kerja baik pulih bagi mengurangkan kesulitan pengguna. Faktor cuaca juga turut menjejaskan kemajuan pembaikan di tapak,” kata SPAN dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Ridhuan, sementara kerja-kerja baik pulih dijalankan, bantuan bekalan air melalui lori tangki dan air botol turut dihantar di kawasan-kawasan terlibat.

“Sebarang pertanyaan berkaitan gangguan dan bantuan bekalan air boleh berhubung terus dengan pihak Air Selangor,” katanya. - UTUSAN ONLINE