Disebabkan itu kita se­ring dinasihatkan agar jangan sekali-kali memutuskan sesuatu dalam kondisi kalut dengan fikiran berserabut. Seburuk apapun keadaannya dan sesingkat manapun waktunya, kita harus berusaha untuk fokus seketika sebelum memutuskan sesuatu perkara.

Demikian juga halnya dengan Bazar Ramadan apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad memutuskan agar bazar berkenaan bermula tahun ini diuruskan sepenuhnya oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengundang pelbagai reaksi dan maklum balas berbeza daripada pelbagai pihak.

Tidak berganjak walau seinci sehingga hari ini Khalid tetap mempertahankan bahawa dasar baharu yang diperkenalkan itu dilihat lebih telus dan memberi peluang sama rata kepada semua peniaga selain menghapuskan monopoli dan budaya ‘ali baba’.

Begitu juga dengan pro­ses pengundian petak bazar dilakukan secara dalam talian bagi memudahkan pihak berkuasa tempatan itu melakukan semakan terlebih dahulu ke atas pemohon.

Antara pihak yang menuntut agar Khalid mempertimbangkan semula keputusan itu ialah Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP).

PPPKMWP mahu hak pengurusan bazar berke­na­an dikembalikan kepada persatuan bagi memastikan ahli-ahli terus diberi pe­luang untuk berniaga di tapak sedia ada.

Isu bazar Ramadan di Kuala Lumpur terutama di lokasi panas seperti Jalan Tunku Abdul Rahman sudah lama berlaku sejak zaman pemerintahan kerajaan terdahulu. Dakwaan skandal salah guna kuasa dan penyelewengan tapak bazar timbul setiap tahun.

Bagi penulis ketika ini Khalid perlu fokus terhadap dasar baharu yang diperke­nalkan. Kemampuan beliau menyelesaikan beban ditang­gung peniaga terania­ya selama ini harus diberi keutamaan berbanding terus menyalahkan dan menu­ding jari kepada pihak lain.

Jika gagal, maka tidak ada apa yang membezakan beliau dengan pemimpin di bawah kerajaan terdahulu.

Dalam menyelesaikan isu berkaitan bazar ramadan ini, Khalid perlu lebih tegas dan terbuka agar tidak mengulangi kesilapan sama.