Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad membe­ritahu, kebenaran penganjuran itu dibuat selepas mengambil kira tempoh masa yang agak singkat menjelang Deepavali.

Beliau berkata, bermula tahun depan, penganjuran bazar untuk semua jenis perayaan di kawasan itu akan dipindahkan.

“Antara tempat yang dipertimbangkan adalah Bukit Jalil kerana kawasan itu lebih besar dan mempunyai pelbagai kemudahan. Ia masih dalam perbincangan dan belum diputuskan lagi.

“Bazar kali ini (Jalan Masjid India)hanya dihadkan kepada 100 penjaja dengan kadar sewa RM230 manakala bayaran untuk khemah adalah RM300. Mereka yang berminat boleh mula memohon minggu depan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Khalid, permo­ho­­nan tapak bazar pada kali ini tidak
akan dilakukan melalui pihak ketiga sebaliknya terus kepada Dewan Bandaraya Kuala Lum­pur (DBKL).

Dalam perkembangan lain, Khalid memberitahu, jawatan­kuasa khas yang dibentuk oleh Kementerian Wilayah menge­syorkan 43 daripada 97 transaksi penjualan tanah oleh kerajaan terdahulu boleh dite­ruskan.

Katanya, jumlah itu tidak termasuk 10 transaksi yang dibatalkan, 23 transaksi yang ditangguhkan kerana masih dalam peringkat rundingan, 20 transaksi yang telah dipindah milik dan satu yang sedang dalam proses perundangan di mahkamah.

Sebelum Ini, Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng membuat laporan meminta SPRM menyiasat segera kes penjualan 64 bidang tanah berkeluasan 171 hektar pada harga RM4.28 bilion kepada Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2013 melibatkan bekas menterinya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Khalid, jawatankuasa itu juga mengesyorkan semua transaksi yang telah dipindah milik perlu disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, laporan jawatankuasa khas yang telah diserahkan kepada SPRM pada 4 Sept lalu untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, perbincangan jawatankuasa selama 15 hari itu juga mendapati sebanyak 13 projek Rumawip tersenarai dalam projek yang perlu ditangguhkan.