Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tegas de­ngan mengeluarkan notis amaran dan kompaun hingga ke tindakan membatalkan lesen perniagaan mereka yang ingkar.

Katanya, kesemua pengusaha makanan baik penjaja mahupun peniaga sedia maklum berhubung pelaksanaannya dan­ kegagalan me­matuhi boleh dikompaun maksimum RM2,000 setelah tempoh persediaan sejak akhir bulan lalu berakhir.

“Pemantauan dan pemeriksaan terus dipergiatkan sepanjang bulan ini. Masa diberi sudah terlalu lama.

“Kementerian juga telah ber­bincang dengan pihak pembekal produk pembungkusan berasaskan bahan biodegradasi supaya menjual pada harga borong, sepatutnya tiada lagi alasan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) 2017 Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)-Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Terdahulu beliau turut melepaskan peserta Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar) yang berlangsung hingga 30 September ini.

Dalam perkembangan lain, Te­ngku Adnan berkata, DBKL juga sedang meneliti kesesuaian membenarkan perkhidmatan aplikasi pintar sewa dan tunggang basikal yang diperkenalkan sebuah syarikat swasta.

“Kami sedang lihat pelan perniagaannya dan pastikan ia be­tul-betul selamat kepada pengguna dan tiada unsur meragukan dari segi sistem bayaran dan perkhidmatannya kelak.

“Pada masa sama DBKL juga sedang mengkaji untuk menambah infrastruktur diperlukan se-perti laluan berbasikal baharu bagi menggalakkan gaya hidup sihat kalangan warga kota,” katanya.