Namun, dalam isu pembinaan projek perumahan pangsapuri Villa Selangorku, penduduk mendakwa mereka tidak dibawa berbincang baik oleh pihak pemaju iaitu Worldwide Holdings Berhad, mahu pun Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sendiri.

Akibatnya dakwa mereka, perumahan bertingkat itu bukan sahaja dilihat mengancam keselamatan penduduk kerana terlalu hampir dengan sekolah tetapi juga bakal menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan itu.

Rentetan itu, penduduk menerusi Badan Bertindak Kelestarian Subang Bestari tampil mengadakan demonstrasi di hadapan sekolah bagi membantah projek tersebut selepas pihak berwajib terus berdiam diri.

Pengerusinya, Abdul Ra­zak Mohammad mendakwa, apabila Villa Selangorku siap kelak, penduduk akan berdepan dengan isu kepadatan murid di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari, masalah tempat meletakkan kenderaan dan kesesakan yang kronik.

“Kami sudah membawa perkara ini kepada pihak berwajib tetapi alasan diberikan ia sudah ada dalam pelan induk pembangunan. Pelan induk itu dibuat pada 1996, yang tidak mengambil kira masalah sekarang, kami bercakap tentang keadaan semasa.

“Bukan kami menolak pembangunan, tetapi bincanglah dengan penduduk, tengok apa masalah. Ini tidak, masalah yang sedia ada pun belum selesai, mahu ditambah dengan masalah baharu atas nama pembangunan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tegasnya, sebagai penduduk awal, tentu sekali mereka mahukan penempatan yang selesa, berdaya huni, bersifat harmoni dan jika ada pembangunan baharu, ia perlulah dilaksanakan dengan penuh terancang agar tidak timbul masalah di kemudian hari.

Katanya, mereka tidak mahu disebabkan kerajaan negeri mahu mengejar janji menawarkan rumah mampu milik, kesejahteraan penduduk diabaikan, sedangkan masih banyak infrastruktur yang perlu diutamakan seperti sekolah, masjid dan jalan baharu.

“Jadi kami menggesa MBSA dan pemaju terutamanya, berbincang dengan kami, soal pelan induk itu bukan alasan kerana ia hal yang boleh ditambah baik bagi kemudahan semua pihak tetapi bukan dengan cara mengabaikan kesejahteraan kami,” katanya.