Ketua Pegawai Eksekutif Litrak dan Sprint, Sazally Saidi berkata, ia melibatkan kerja-kerja naik taraf dan pembersihan sistem perparitan secara berkala untuk dalam tempoh jangka masa panjang demi keselesaan pengguna lebuh raya itu.

“Sebenarnya sudah lama tidak banjir di hadapan pusat beli-belah IOI, cuma baru-baru ini banjir di kawasan arah ke selatan sahaja selama 10 minit seterusnya pulih semula. Ini juga disebabkan sistem perparitan yang sedang dinaik taraf.

“Kita bernasib baik kerana semua pihak bekerjasama memastikan keadaan itu berjalan dengan lancar,” katanya dalam sidang akhbar pengumuman diskaun tol sempena Krismas dan program Kembali Ke Sekolah di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Operasi Lebuhraya SMART, Sharifah Alauyah Wan Othman.

Terdahulu, Sazally menyampaikan sumbangan kelengkapan sekolah dan wang tunai kepada 90 kanak-kanak kurang bernasib baik dari Persatuan Kanak-Kanak Ini Disayangi (K.I.D.S) Subang Jaya, Pusat Jagaan Penyayang Nur Iman Kuala Lumpur serta Sekolah Kebangsaan Pulau Indah 2 Klang, Selangor.

Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 800,000 pengguna Lebuhraya LDP, Lebuhraya Shah Alam (LSA), Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya SMART akan menikmati diskaun antara 60 sen, 30 sen dan 20 sen sempena sambutan Krismas pada 25 Di­sember ini.

Menurutnya, diskaun tol bagi pengguna lebuh raya terbabit bermula pukul 12.00 tengah malam hingga 11.59 malam pada hari tersebut.

”Diskaun tol untuk pengguna Lebuhraya SMART pula akan bermula pukul 6 pagi pada hari tersebut hingga 6 pagi keesokannya.

“Bagi pengguna di LDP mereka akan menikmati diskaun 60 sen, manakala bagi pengguna di Le­buhraya Sprint, diskaun tol yang diberikan adalah sebanyak 20 sen, LSA (20 sen) dan Lebuhraya SMART (30 sen),” katanya.

Tambahnya, hampir 17 juta pengguna menikmati insentif tol (diskaun) yang diberikan de­ngan jumlah lebih daripada RM11 juta sejak 2010 hingga tahun lalu khususnya perayaan utama, termasuk Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Hari Deepavali.