Disiksa tiada belas kasihan turut dirasai hanya kerana tergolong dalam etnik Rohingya yang menganuti agama Islam.

Namun itu dahulu, kini mereka bebas menguasai perniagaan, kemudahan awam, kemudahan rekreasi dan menternak binatang peliharaan meskipun bukan di negara sendiri.

Skuad Terjah barubaru ini meninjau ke bahagian utara Kuala Lumpur iaitu di Pasar Borong Kuala Lumpur dan kawasan sekitar untuk melihat aktiviti perniagaan yang dijalankan masyarakat ini.


KUALA LUMPUR 3 Ogos -  Mereka memonopoli hampir keseluruhan bandar utara ibu kota, khususnya di sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur.

Malah tindakan berani warga etnik Rohingya menjalankan ke­giatan penjajaan secara aktif di sepanjang kaki lima kawasan itu benar-benar menimbulkan rasa kurang senang dan resah terutama kalangan penduduk tempatan.

Tinjauan Skuad Terjah sekitar pasar borong dan kawasan berhampiran baru-baru ini mendapati mereka bebas menjalankan urusan jual beli di kawasan tersebut.

Soal kebersihan bukan lagi menjadi keutamaan apabila sam­pah sarap dibuang di sana sini.

Barangan jualan terutama bahan basah seperti sayur-sayuran, ikan dan ayam dijual secara terbuka dan hanya beralaskan sekeping papan lapis dan suratkhabar.

Berdasarkan pemerhatian, ma­syarakat ini turut menjadikan sebuah kawasan lapang berhampiran untuk menternak lembu.

Salah seorang penduduk, Jamil Abd. Hassan berkata, kebanjiran masyarakat itu kini menjangkau jumlah seramai 60,000 orang melebihi penduduk tempatan di kawasan berkenaan.

“Sukar membezakan mereka ini pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR)atau sebaliknya.

“Sebagai penduduk kami sa­ngat berasa tidak selesa. Mereka benar-benar mengganggu ketenteraman, membuat bising dan tidak menghiraukan soal kebersihan,” katanya.

Tambahnya, kemasukan warga asing dilihat memang sudah tidak terkawal di kawasan itu.

“Di sini bukan hanya ada etnik Rohingya, tetapi juga Bangladesh, Indonesia dan Vietnam.

“Kawasan sekitar di sini kelihatan lebih ramai dari penduduk tempatan. Mereka me­nguasai perniagaan, kemudahan awam, kemudahan rek­reasi dan kelihatan di mana-mana,” katanya.