Tinjauan wartawan dan jurugambar di beberapa lokasi di pusat bandar Seremban mendapati jumlah haiwan itu yang berkeliaran belum menunjukkan tanda-tanda berkurangan, walaupun pihak berkuasa tempatan (PBT) berjanji menangani isu berkenaan.

Kumpulan anjing merayau-rayau di kaki lima sudah jadi pandangan biasa, malah jumlahnya meningkat pada waktu malam.

Sepanjang tahun 2016, sebanyak 8,000 ekor anjing telah ditangkap dan dilupuskan oleh syarikat yang diberi tanggungjawab berkenaan oleh Majlis Perbandaran Seremban.

Ia menggambarkan betapa banyaknya jumlah anjing liar di sekitar daerah ini.

Situasi itu mengundang rasa tidak selesa dalam kalangan orang ramai yang meminta PBT berkenaan bertindak lebih cekap dan berkesan dalam menangani masalah berkenaan.

Seorang peniaga makanan, Zaitun Ahmad Jali, 42, berkata, dia bimbang sekiranya tidak dikawal, kehadiran anjing liar akan semakin bertambah dalam beberapa tahun akan datang.

Katanya, beberapa lokasi menjadi tumpuan haiwan ber-kenaan antaranya di Pasar Besar Seremban, Terminal One dan juga di lorong-lorong di sekitar bandar ini.

"Anjing liar ini tiba-tiba saja mengejar pejalan kaki, walaupun haiwan itu tidak terancam.

"Perkara seperti itu merisaukan terutama dalam kalangan wanita dan juga kanak-kanak. Seorang kawan saya yang mendukung bayinya pernah berdepan situasi cemas itu, mujurlah dia sempat lari," katanya di sini baru-baru ini.

Seorang suri rumah, Nisa Abdullah, 29, berkata, ekoran tiada kawalan, banyak anjing liar turut berkeliaran di flat yang dihuninya di Lobak di sini.

Katanya, setiap kali turun ke tingkat bawah perumahannya, dia kerap terserempak dengan anjing yang mencari makanan berhampiran tong sampah selain haiwan itu tidur di kaki lima.

"Apabila ada aduan dan MPS datang tangkap, kehadiran anjing berkurangan seketika. Tapi tak lama kemudian jumlahnya meningkat semula.

"Saya minta MPS buat lebih banyak operasi menangkap anjing liar. Kadang-kadang ada pemilik yang melepaskan anjing yang sakit dan sudah tua kerana tak mahu membelanya lagi," dakwanya.

Menurutnya lagi, masalah anjing liar berkeliaran juga berlaku di kawasan perumahan lain di Seremban sehingga mengundang rasa bimbang dan tidak selesa orang ramai.

"Yang merisaukan banyak anak anjing berkeliaran, maknanya jumlah haiwan itu akan sentiasa bertambah, MPS mesti bertindak," ujarnya.