Menteri Besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, bagaimanapun Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) perlu meneliti pelbagai aspek termasuk kos yang dibelanjakan sejak 16 tahun lalu.

Katanya, kerajaan pusat perlu membayar balik segala kos bernilai RM60.6 juta yang ditanggung Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebelum ini termasuk kos penyelenggaraan bangunan, kebersihan serta menyelia kesemua lif melibatkan lapan blok di sini.

“Penyerahan ini mestilah dibuat secara undang-undang supaya tidak timbul masalah pada masa akan datang kepada pemilik dan penyewa berhubung pengurusan penyelenggaraan kawasan perumahan ini.

“Saya bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak dan mengenepikan politik demi kesejahteraan rakyat Selangor supaya hasil daripada negeri ini dinikmati setiap warganya,” katanya semasa meninjau kawasan PPR Lembah Subang 1, di sini baru-baru ini.

Kemelut berlarutan perumahan uzur itu disiarkan beberapa akhbar tempatan termasuk Utusan Malaysia mengenai penduduk yang mendakwa MBPJ gagal menguruskan perumahan itu dengan baik.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Pembangunan Lembah Subang (JKPLS), Datuk Yusoff HM Hanif berkata, hasrat kerajaan melalui KPKT mengambil alih perumahan itu adalah tepat dan melegakan penduduk di sini yang sudah tidak tahan berdepan pelbagai masalah.

Beliau yang juga Ketua Bahagian UMNO Kelana Jaya itu turut berharap jalan penyelesaian dapat diambil bagi mengakhiri penderitaan penduduk yang seolah-olah dianak tiri oleh pihak berkuasa tempatan itu.

“Berhubung bayaran balik kos pengurusan sebelum ini diharap dapat diselesaikan antara kedua-dua pihak bagi memastikan kesejahteraan penduduk,” katanya yang turut hadir menyerahkan memorandum kepada Azmin dalam majlis sama. - UTUSAN ONLINE