Itu kata azimat yang sentiasa dihayati dan digenggam erat seramai 38 anak murid seni silat gayong di gelanggang Taman Bukit Angkasa, Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Walaupun usia masih muda remaja, namun iltizam serta kesungguhan mereka untuk memastikan jiwa memiliki seni mempertahankan diri warisan agung dapat dilihat.

Berbekalkan dorongan ibu bapa, mereka terpaksa melupakan seketika masa lapang seperti menonton televisyen atau bermain komputer demi mempelajari seni bela diri pada waktu malam.

Pembantu guru silat, Syaifuddin Khalid, 35, berkata, seni mempertahankan diri yang diwariskan anak-anak di kawasan pinggiran kota itu sudah mencecah hampir tiga dekad lamanya.

Katanya, ia diasaskan oleh guru silat iaitu Fadil Ibrahim, 64, yang mengambil peluang menarik minat orang ramai di atas kemudahan gelanggang awam itu.

“Belajar bersilat bukanlah untuk berkelahi tetapi bertujuan membela diri.

“Dengan silat, kita boleh membina kekuatan diri, membentuk disiplin dan jati diri selain membina keyakinan serta menjadikan seseorang itu lebih berani.

“Saya bersyukur kerana pada zaman sekarang ini masih lagi terdapat anak-anak Melayu yang minat. Ini bererti mereka tahu menghargai seni warisan bangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Syaifudin berkata, mempelajari silat tidak ada tarikh penamat sama seperti menuntut ilmu.

“Walaupun di dalam silat ada peringkat tertentu yang membolehkan mereka mahir dengan memiliki bengkung hitam kosong, putih, hijau, merah cula, kuning cula dan hitam cula, namun itu tidak bererti mereka sudah tamat belajar.

“Belajar silat tidak akan habis kerana saya dan guru masih belajar sehingga kini. Ini nasihat yang selalu saya titipkan kepada anak murid supaya terus belajar sampai bila-bila,” katanya.

Mengulas lanjut, dia berkata, ahli silat akan dilatih diperingkat asas sehingga ke tahap menggunakan senjata seperti parang, keris, pisau dan kayu.

“Kita akan ajar mereka dari satu tahap ke satu tahap sehingga mereka mahir menggunakan senjata. Belajar silat tanpa senjata tidak akan lengkap,” jelasnya

Menurutnya, orang ramai dialu-alukan untuk menyertai seni silat yang terbuka kepada semua peringkat umur.

“Kebanyakan pelajar sekarang berusia antara enam hingga 19 tahun dan mereka datang dari kawasan berdekatan. Pelajaran ini diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu bermula pukul 9 hingga 11 malam.

Katanya, bayaran yang dikenakan adalah RM10 sebulan untuk anak-anak kecil, RM15 untuk pelajar sekolah dan RM20 bagi mereka yang bekerja.

Biduk berlalu kiambang bertaut, kata bersahut gayung menyambut. - UTUSAN ONLINE