Berkonsepkan Krismas klasik, menu yang disediakan menepati selera pengunjung yang ingin meluangkan masa bersama keluarga semasa sambutan tersebut.

Menurut Pengarah Kulinari Lexis Hibiscus, Cef Ryan Poon, hidangan klasik seperti ayam belanda panggang menjadi pilihan untuk

ditonjolkan kerana keenakan dan kelembutan daging perapnya yang dihidangkan dengan kuah ayam belanda, sos gibel atau sos kranberi.

Ujarnya, beliau menggunakan kaedah sous vide untuk memasak ayam belanda bagi memastikan hidangan itu masak secara sekata.

"Hidangan dimasak secara perlahan-lahan bagi mengekalkan jus di dalam ayam belanda dan mengelaknya kering sehingga memberi kesan

kepada rasa dan aromanya," katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, ujarnya, turut disajikan ialah daging kambing panggang yang dimasak bersama daun rosemary dan bawang putih yang pastinya membangkitkan selera.

"Daging ini dihidangkan bersama jagung, nanas, kentang dan pilihan rosemary dengan madu atau sos pudina sekali gus melengkapkan rasanya, " katanya.

Hidangan lain yang terdapat dalam bufet di Roselle Coffee House itu ialah udang karang, ikan kerapu Sabah masak masam manis, roti mantau dengan agar-agar dan itik panggang Kantonis.

Turut disediakan menu pencuci mulut seperti mont blanc tart, english christmas trifle, gingerbread creme brulee, classic pate au choux tower dan lain-lain lagi.

Bufet akan disediakan dari pukul 7 petang hingga 10.30 malam dengan harga RM168 (dewasa) dan RM88 (kanak-kanak). Untuk maklumat lanjut dan tempahan hubungi talian 06-6602626 sambungan 2646. - UTUSAN ONLINE