Astri Ramayanti Dharmawan

Schneider Electric dalam kenyataannya berkata, Presiden Negara terdahulu iaitu Soo Pow Leong yang telah menerajui operasi Schneider Electric Malaysia selama lebih lima tahun kini dinaikkan pangkat sebagai Naib Presiden Tenaga Digital bagi zon Asia Timur.

Katanya, Astri memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam jualan dan pemasaran dan telah bekerja dengan pelbagai syarikat multinasional dalam industri pengedaran elektrik dan teknologi.

“Beliau memegang jawatan sebagai Naib Presiden Bahagian Teknologi Maklumat (IT) di Indonesia, Malaysia dan Brunei untuk Schneider Electric IT.

“Beliau menguruskan keseluruhan perniagaan IT yang melibatkan Schneider Electric termasuk penyelesaian dan infrastruktur fizikal untuk pusat data produk seperti kuasa dan penyejukan serta servis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah syarikat itu, peranan baharu Astri memerlukan beliau menyelia semua inisiatif dan proses kecekapan sementara memimpin syarikat ke arah pendapatan dan pertumbuhan organik yang berjaya.

“Beliau bercita-cita untuk memacu pasukan di Malaysia untuk memperbaiki kehidupan masyarakat di dunia dengan membangunkan penyelesaian tenaga mampan untuk pelanggan, rumah, bangunan, pusat data dan infrastruktur,” ujarnya.

Sementara itu, Astri berkata, beliau teruja untuk memimpin pasukan Schneider Electric bersama-sama dengan Malaysia dan Brunei.

Menurutnya, sebagai pemimpin transformasi digital pengurusan tenaga dan automasi, syarikat akan terus menyokong dan berkembang bersama pelanggan dan rakan dengan mengukuhkan nilai keselamatan, kebolehpercayaan, kecekapan, kelestarian dan kesalinghubungan.

“Kita bukan sahaja memacu inovasi untuk para pelanggan dan rakan, malah memupuk budaya dan pekerja untuk terus menjadi peneraju dalam ekonomi digital baharu,” katanya. - UTUSAN ONLINE