Gerai mudah alih, payung gerai, himpunan bakul dan kotak simpanan barang, perabot serta meja dan kerusi makan merupakan perkara biasa yang ditemui di tempat awam.

Tanpa rasa bersalah, sikap tidak bertanggungjawab yang menyebabkan masalah pencemaran kawasan awam itu se­perti sudah menjadi amalan biasa seolah-olah tugas membersihkan kawasan itu ‘diserahkan’ sepenuhnya kepada pihak ketiga.

Selain menghalang ruang orang ramai, tindakan tersebut turut menyebabkan kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar Pantai Dalam, Chow Kit dan Kampung Baru di sini mendapati beberapa peniaga me­nguasai kawasan bahu jalan dengan meletakkan barang-barang perniagaan.

Kelibat kumpulan peniaga boleh dilihat seawal pukul enam pagi sehingga lewat tengah malam yang menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti menjual makanan, pakaian, cendera hati, alat telekomunikasi dan membaiki kasut.

Berdasarkan pemerhatian, ada dalam kalangan peniaga yang turut menjadikan kawasan kaki lima jalan sebagai ‘kaunter’ gerai manakala tempat letak kende­raan dijadikan ruang makan tanpa menghiraukan keselamatan dan kebersihan.

Di gerai jualan sate dan bur­ger di sekitar Pantai Dalam mi­salnya, kawasan yang dahulu bersih kini dipenuhi sisa-sisa makanan, minyak dan air limpah yang berbau busuk.

Difahamkan, ada golongan peniaga yang sudah beberapa kali diberikan amaran dan notis oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tidak berniaga di situ namun mereka tetap berdegil.

Sehubungan itu, orang ramai menggesa DBKL supaya bertindak lebih tegas melalui pemantauan lebih kerap dan operasi penguatkuasaan bagi membendung masalah itu daripada terus berleluasa demi keselesaan orang ramai.

Tindakan itu juga selaras dengan hasrat Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memastikan tiada lagi penjaja tepi jalan menjelang 2020.