Presiden PPj, Datuk Seri Hasim Ismail berkata, pihaknya bertindak mengeluarkan notis penutupan terhadap premis makanan dengan serta-merta sekiranya didapati melanggar Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (Wilayah Persekutuan Putrajaya) 2012 dan Akta Makanan 1983.

“Kami tidak akan berkompromi dalam soal kebersihan makanan iaitu bermula daripada penye­diaan makanan di dapur sehingga disajikan kepada pelanggan.

“PPj sentiasa melakukan pe­meriksaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pemilik premis makanan mematuhi undang-undang ditetapkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pemeriksaan bersepadu pre­mis makanan di Presint 9 di sini.

Pada masa sama, Hasim menyarankan orang ramai untuk tidak mengunjungi premis yang kotor dan melaporkan aduan berhubung perkara itu kepada PPj dengan segera.

Jelasnya, PPj memperkenalkan sistem gred premis makanan sebagai panduan kepada orang ramai untuk mengetahui tahap kebersihan penyediaan makanan.

“Namun segalanya terpulang kepada orang ramai untuk memilih mana-mana premis makanan yang bersih,” katanya.

Pada pemeriksaan tersebut, sebuah restoran 24 jam diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini kerana didapati kotor,

Operasi itu dilaksanakan bagi memastikan premis makanan di Putrajaya sentiasa berada pada tahap kebersihan yang tinggi selain memastikan tiada pelanggaran syarat berlaku.