APLIKASI mudah alih Prolintas boleh dimuat turun secara percuma menerusi App Store atau Google Play. - UTUSAN ONLINE

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah, pengaktifan isyarat kecemasan berserta penentu lokasi itu membolehkan orang ramai mendapatkan bantuan daripada pasukan peronda Prolintas.

Mohammad Azlan berkata, pengguna aplikasi itu hanya perlu menghidupkan sistem penentu kedudukan global (GPS), memilih jenis kecemasan dan menghantar isyarat daripada telefon pintar untuk mendapatkan bantuan atau tindakan.

“Peronda akan sentiasa memantau dan bertindak kepada isyarat kecemasan (SOS) yang diterima menerusi aplikasi mudah alih berkenaan.

“Ia juga berfungsi menerima maklumat trafik dan perkhidmatan lain di Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Koridor Guthrie, Lebuhraya Kemuning-Shah Alam dan Lebuhraya Kajang Silk,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambahnya, Prolintas menyediakan baucar bernilai RM10 kepada 1,000 pelanggan pertama yang memuat turun aplikasi tersebut.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi itu menerusi App Store dan Google Play secara percuma. - UTUSAN ONLINE