Namun satu lagi makanan yang turut menjadi antara menu pilihan utama rakyat negara ini tidak kira pagi atau petang ialah apam balik, sama ada dalam bentuk rangup ataupun lembut, dengan keistimewaannya terletak pada inti iaitu kacang, jagung dan gula.

Menurut pemilik Gerai Apam Balik Istana, Mohd.Nabil Rahizad, 32, bukan suatu yang pelik jika apam balik kini menjadi antara sajian ringan popular rakyat Malaysia terutamanya jika dinikmati seisi keluarga pada sebelah petang.

"Apam balik yang saya jual bukan sahaja dijual untuk sajian minum petang malahan saya juga bersedia menerima tempahan untuk majlis-majlis keraian tertentu.

"Saya dan anak-anak buah bersedia menerima tempahan seperti kenduri perkahwinan mahupun majlis hari jadi dengan tempahan mencecah 1,000 keping dalam sehari,"katanya kepada Utusan Kota di gerainya di Jalan Kebun di sini baru-baru ini.

Jelas Mohd. Nabil, selain cawangan utama di Jalan kebun, dia turut membuka gerai apam balik di Seksyen 24 Shah Alam, Kampung Batu 8 Sijangkang serta di pekan Teluk Panglima Garang sehingga memungkinkannya menjual sehingga 10,000 keping apam balik sehari.

"Saya bersyukur dengan sambutan diberi orang ramai. Selain apam balik biasa kita turut menjual apam balik perisa nestum, milo dan coklat dan lain-lain," katanya.

Jelasnya, untuk pesanan bagi sebarang majlis keraian dia boleh dihubungi di talian 0122258950.