Penulis tidak terkejut bila ramai yang mencemuh sikap dan mentaliti penghuni perumahan bertingkat kendalian Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu tidak pernah berubah, sebaliknya semakin teruk dan menakutkan.

Kerana sikap buruk segelin­tir mereka jugalah, nyawa seorang remaja S. Satishwaran, 15 tahun hilang selepas kerusi yang dibuang dari tingkat atas di kawasan PPR Seri Pantai, Pantai Dalam Kuala Lumpur, baru-baru ini menimpanya.

Boleh dikatakan, budaya setinggan terus dibawa dalam kehidupan harian mereka.

Bukan setakat tidak menghargai kemudahan awam di­sediakan, tetapi kedegilan me­­reka bagai berakar umbi.

Walau pun hanya perlu membayar RM124 atau RM4 sehari, masih ramai yang liat membayar sewa rumah, sehingga menyebabkan hutang tertunggak ribuan ringgit.

Tanpa rasa segan silu golo­ngan ini terus menikmati pelbagai kemudahan seperti taman permainan, ruang parkir dan dewan serba guna yang disediakan.

Lokasinya yang cukup strategik, ada pengangkutan awam s­eperti stesen transit alir­an ringan (LRT), Mass Ra­pid Transit (MRT) dan monorel memberi peluang untuk mereka terus hidup selesa setara dengan kondomi­nium mewah di ibu kota.

Penghuni juga bertuah apa­­­bila kerajaan turut memberi peluang kepada yang memenu­hi syarat-syarat tertentu membeli dan memiliki kediaman sendiri satu hari nanti.

Apa yang tidak dilakukan Kementerian Wilayah Persekutuan melalui agensinya iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sejak mereka menduduki kediaman itu.

Jika tidak percaya, ta­nyalah kepada penghuni PPR, PA sendiri.

Melihat kepada situasi yang berlaku, pe­ng­huni PPR, PA semakin naik lemak. Maka tidak hairanlah walau pun mereka menikmati apa yang diberikan, masih ada sua­ra-suara yang tidak berpuas hati.

Bak kata orang ‘diberi betis, hendak paha’. Ada sahaja yang tidak kena.

Persoalannya, apa lagi yang penghuni ini mahu atau dalam bahasa mudah, ‘Apa lagi penghuni PPR mahu’!.

Tidak cukupkah usaha yang dijalankan kerajaan bagi membantu golongan miskin bandar ini, termasuk mengatur pelbagai program untuk kesejahteraan mereka.

Penulis berpandangan sudah tiba masanya penghuni PPR, PA berubah menjadi yang lebih baik.

Jika tidak hasrat Kuala Lumpur menjadi bandar raya bertaraf dunia 2020 hanya indah di atas kertas.