Bukan sehari dua atau seminggu, tetapi telah mencecah setahun kemudahan itu tidak dibaiki. Apa sudah jadi dengan Putrajaya Sentral?.

Itu antara persoalan yang ditimbulkan rata-rata pengguna hab pengangkutan awam untuk kawasan Putrajaya, Cyberjaya, Dengkil dan juga Sepang.

Mereka mempersoalkan kenapa pihak bertanggungjawab mengambil masa terlalu lama untuk melakukan kerja-kerja baik pulih sedangkan ia perlu untuk kemudahan orang awam terutama golongan orang kurang upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak.

Tinjauan Utusan Malaysia di lokasi mendapati keluhan pengguna mengenai perkara tersebut berasas apabila lif bagi laluan pengguna bas dan teksi di terminal itu tidak berfungsi.

Utusan Malaysia difahamkan, kerosakan berlaku sejak hampir setahun dan sepanjang tempoh itu tiada kerja-kerja selenggara dilaksanakan.

Menurut seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Azlin, sepanjang tempoh itu hanya sekali wakil kontraktor datang melakukan pemeriksaan.

“Pihak berkenaan hanya meletakkan penghadang tentang pemberitahuan kerja-kerja baik pulih lif sedang dijalankan. Sedangkan sehingga hari ini kemudahan itu masih tidak boleh digunakan.

"Situasi ini benar-benar menyusahkan pengguna terutama warga emas dan OKU yang terpaksa menggunakan tangga untuk ke tingkat sambil membawa beg pakaian," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Situasi sama turut berlaku berhampiran hentian bas pengantara ke Hospital Putrajaya apabila kemudahan itu juga mengalami kerosakan sejak tiga bulan lalu dan tiada kerja-kerja baik pulih dilakukan sepanjang tempoh itu.

Sementara itu, seorang pengawal keselamatan yang ditemui juga memaklumkan, eskalator di kawasan kawasan perkhidmatan bas itu henti-henti juga rosak dan tidak dibaiki sehingga hari ini.

"Sepanjang bertugas di sini hampir setahun setiap hari saya mendengar keluhan dan rungutan daripada pengguna,” ujarnya.

Sepanjang pemerhatian Utusan Malaysia di kiosk berhampiran juga mendapati banyak peniaga menutup perniagaan mereka dan tidak dapat dipastikan apa puncanya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn. Bhd. (PAPTT), Ahmad Mustaffar Abdul Manaf ketika dihubungi enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Utusan Malaysia difahamkan ini kerana pengurusan dan selenggaraan Putrajaya Sentral dalam proses di ambil semula oleh Perbadanan Putrajaya.