Ibarat antara dua darjat, perbezaan itu dapat dilihat dengan begitu ketara selepas melalui pintu gerbang antara sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati semak-samun yang tingginya mencecah hampir se­paras bahu orang dewasa menghiasi sepanjang jalan yang sibuk siang dan malam itu.

Semak-samun yang tumbuh meliar di kiri kanan jalan itu seolah-olah dipandang sepi pihak bertanggungjawab sejak sekian lama.

Berdasarkan pemerhatian, beberapa hentian bas di sepanjang laluan di situ juga didapati tidak terurus.

Kelihatan daun-daun kering memenuhi ruang menunggu bas termasuk longgokan sampah di dalam plastik hitam.

Turut didapati jalan rosak berhampiran sebuah stesen minyak di Jalan Selayang Baru.

Keadaan itu bukan sahaja me­n­cemarkan pemandangan, te­tapi turut menjejaskan imej Sela­yang sebagai kawasan yang paling hampir dengan ibu negara.

Berbeza di sempadan milik Kuala Lumpur, pembahagi jalan sepanjang laluan di situ dilihat lebih terurus.

Pokok-pokok renek menghiasi ruang di kiri kanan memberikan keceriaan dan keindahan di kawasan persekitaran.

Sehubungan itu, pihak berwajib diminta segera melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan termasuk semak-samun bagi memastikan persekitaran kawasan lebih bersih dan indah. -UTUSAN ONLINE