Sehubungan itu, Animas bersama-sama Rumah Kartun dan Komik Malaysia (RKKM) membawa dan merealisasikan kenangan kartunis tempatan yang berasal dari Dungun, Terengganu iaitu Fatah Ngah untuk dipamerkan kepada orang ramai.

Presiden Animas, Amir Hamzah Hashim berkata, karya lagenda Fatah Ngah iaitu Lagak A. Mamud adalah satu lagenda yang perlu diangkat dan adalah sesuatu yang sangat merugikan jika karya tersebut terus tenggelam di bawa arus zaman.

"Oleh itu, pendekatan yang diambil oleh Muzim Negeri Terengganu untuk menganjurkan Pameran Kartun dan Kita ini wajar dipuji dan tahniah kepada Fatah Ngah kerana turut diangkat sebagai ikon dalam pameran kali ini.

"Melalui pameran ini juga, Animas dan RKKM menyelitkan pelbagai informasi terperinci berkaitan naskah kartun tanahair. Melaluinya masyarakat diharap dapat meneladani dan menyusuri beza antara kartun, komik dan animasi selain kepelbagaian kaedah persembahannya," katanya kepada Utusan Online.

Dalam pada itu, Amir Hamzah turut menjelaskan, antara tujuan utama Animas dan RKKM berkampung di situ adalah untuk merealisasikan Pameran Kartun dan Kita dengan lebih unik, menarik dan berjaya.

“Di Muzium Terengganu ini, Animas dan RKKM akan berkampung lebih kurang selama empat bulan dan pelbagai jenis kartun, komik dan koleksi yang berkaitan dengannya ada kami bawa ke sini.

“Sehubungan itu, generasi hari ini berpeluang mengenali sejarah dan juga perjalanan industri kartun serta komik di negara Malaysia sejak dahulu hingga kini,” ujarnya.

Amir Hamzah berkata lagi, dia amat gembira kerana Muzium Negeri Terengganu berminat untuk menjadi penganjurnya selepas Muzium Negara sekali gus dapat melestarikan sejarah dan tinggalan yang pernah wujud dalam dunia seni seperti lukisan, kartun dan sebagainya.

Majlis Pameran Kartun dan Kita telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Maklumat Teknologi Maklumat Negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut, Presiden RKKM, Md Desa Omar atau lebih popular dengan nama kartunisnya, Juragan.

Dalam pada itu, Amir Hamzah memberitahu pameran tersebut telah bermula sejak 1 Julai dan dijadualkan akan berakhir pada 31 Oktober tahun ini dan berpeluang menyaksikan lebih lebih 500 karya lukisan kartun dan juga animasi daripada 100 kartunis terkenal di negara,” ujar Amir Hamzah. – UTUSAN ONLINE