Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, ketrampilan tersebut penting terutamanya dalam mengubah cara pemikiran secara kolektif kerana setiap individu perlu mencapai kejayaan dan transformasi untuk diri masing-masing.

“Sehubungan itu, Angkasa dengan kerjasama RRC Worldwide Sdn. Bhd. mengambil inisiatif melaksanakan seminar motivasi ‘Change Starts With Me’ (CSWM) istimewa untuk ahli koperasi termasuk belia agar input-input yang diterima boleh diaplikasi peserta.

“Tambahan pula, CSWM merupakan sebuah program yang menggabungkan penemuan baharu dalam psikologi manusia untuk membentuk transformasi peribadi daripada negatif ke arah yang lebih baik,” katanya di sini hari ini.

Abdul Fattah berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar ‘Change Starts With Me’ yang dianjurkan di Auditorium Angkasa, Kelana Jaya.

Turut hadir, Timbalan dan Naib Presiden Angkasa, Mutadho Bahri serta Datuk Mohamad Ali Hasan dan juga Pengerusi Koperasi Perdana Jaya, Datuk Adnan Maarof.

Mengulas lanjut tentang program tersebut, Abdul Fattah memberitahu bahawa seminar yang berkonsepkan program motivasi itu adalah kali pertama dianjurkan pihak Angkasa dan beliau berharap para peserta akan memanfaatkan segala ilmu yang diterima.

“Sejajar inisiatif Transformasi Nasional (TN50), Angkasa terpanggil melakukan program bersifat Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) sebegini kerana generasi hari ini sangat perlu memiliki keupayaan kepimpinan dalam aspek kehidupan,” katanya. - UTUSAN ONLINE