Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya mempunyai dasar terbuka dan menyokong apa juga tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa bagi menjamin integriti agensi kerajaan.

“Kami mengambil sikap yang tegas untuk tidak melindungi sesiapa sahaja yang ditahan atau dituduh dengan amalan rasuah.

“Kami tidak peduli siapa, mereka mesti menghadapi tuduhan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan sempena Sambutan Hari Kebahagiaan Sedunia, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan media berhubung penahanan 16 individu termasuk pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan ketua sebuah balai polis yang didakwa menerima wang sogokan secara bulanan daripada pemilik pusat urut di ibu kota oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini. -UTUSAN ONLINE