Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora, Datuk Mohd. Zain Hassan berkata, ia sebagai platform pihaknya dalam me­nyalurkan bantuan kepada kawasan yang memerlukan khususnya dalam usaha menaik taraf kemudahan prasarana.

Beliau berkata, bagi projek mengindahkan surau buat kali ketiga itu Alam Flora telah memi-lih Madrasah Al-Ihsaniah di Kampung Malaysia Raya untuk dinaik taraf.

“Melalui program ini kerja-kerja termasuk pembersihan, mengecat pagar, pemasangan langsir dan juga pembasmian serangga perosak dilakukan secara bergotong-royong bersama kakitangan Alam Flora dan penduduk setempat.

“Pihak kami memperuntukan sebanyak RM30,000 bagi memastikan madrasah ini kelihatan lebih cantik dan indah daripada sebe­lumnya,” katanya ketika hadir ke Majlis Imarah Ramadan Madrasah Al-Ihsaniah.

Yang turut hadir, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Malaysia Raya, Mohd. Zainudin Amran dan Pengerusi Madrasah Al-Ihsaniah, Mustapha Abdullah.

Tambah Mohd. Zain, projek itu dilakukan setiap tahun bagi memastikan madrasah dan masjid sentiasa bersih selain memberi keselesaan kepada jemaah untuk beribadat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Zain memberitahu, peniaga dinasihatkan menghantar mi­nyak masak terpakai ke pusat kitar semula Alam Flora bagi mengelakkan pencemaran alam sekitar.

“Pembayaran akan dilakukan mengikut berat minyak masak terpakai dihantar iaitu satu kilogram berharga RM1.20 bagi kawasan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Cyberjaya.

“Sebelum ini ramai yang tidak tahu minyak masak terpakai sebenarnya boleh dikitar semula menjadi minyak biodiesel. Pada masa ini, minyak masak yang dikumpul akan dihantar ke sebuah syarikat,” katanya.