Namun demikian kehadiran karyawan berjiwa halus iaitu Ismail Zain era 1980-an menerbitkan sinar baharu dalam dunia dengan mengekalkan peranan tradisi dalam proses karya krea­tifnya.

Sering digelar ‘pelopor seni elektronik di Malaysia’, Allahyarham Ismail yang terkenal dengan beberapa karya signifikan antaranya ‘7.PM’, Dot dan Pupusnya Siti Nurbayah mempercayai bahawa seni adalah suatu kaedah eks­presi yang harus menyampaikan makna dan bingkai luahan rasa masyarakat.

Sejajar dengan wawasan dan teori kritis yang dijulang beliau, Galeri Petronas Suria KLCC meraikan karya-karya agung seniman serta budayawan terulung tersebut melalui pameran Al-Kesah: Penghormatan kepada Ismail Zain yang berlangsung awal bulan lalu hingga 21 Ogos depan.

Turut dipamerkan, lebih 30 karya hasil seni 22 seniman ta­nah air yang menterjemahkan hasil kerja Allahyarham Ismail melalui kreativiti masing-masing sebagai penghormatan kepada pelopor seni yang benar-benar melangkaui zamannya.

Menurut pengkarya dan juga anak didiknya, Zainon Abdullah, kesemua imej dan imejan semiotik yang mempunyai ciri-ciri membina seperti kesenian Islam yang digarap Ismail bagi mencerminkan proses penjanaan ilmu dan proses keintelektualan yang tinggi.

Katanya, sukar dicari kecacatan pada karyanya bahkan ia agak sempurna dalam konteks karya seni.

Karya Ismail didapati memang bersifat sezaman, bukan sahaja di persada seni tampak tanah air bahkan di arena antarabangsa.

“Penggunaan teknik semburan, stensil dan hard-edge itu sendiri bersifat sezaman kerana kaedah tersebut menolak gaya lukisan konvensional mahupun sapuan berus,” katanya ketika ditemui.

Dilahirkan pada tahun 1930 dan meninggal dunia pada usia 61 tahun, anak kelahiran Kedah ini merupakan individu pertama yang dilantik menjadi Pengarah Balai Seni Lukis Negara seterus­nya Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Sumbangan seni beliau ketika hayatnya kini menjadi bahan rujukan dan kajian para pelajar seni lukis dan visual berikutan kebolehan pemikiran seninya yang menongkah arus zaman.