Bagaikan tiada titik noktah, kes melibatkan pe­nyalahgunaan internet dan media baharu itu berterusan dengan menjadikan orang ramai sebagai mangsa.

Berdasarkan pengamatan, trend terkini individu terlibat menggunakan medium itu untuk mendapatkan dana bagi rawatan ahli keluarga yang sakit.

Paling terkesan bayi atau kanak-kanak sering dijadikan sebagai objek untuk mencuri perhatian dan simpati orang ramai.

Beberapa bulan yang lalu dua buah akhbar tempatan membuat laporan polis ekoran terdapat individu yang membuka laman akaun Facebook dengan menggunakan nama akhbar tersebut untuk mengaut keuntungan atas angin.

Akaun palsu itu memaparkan kisah sedih adik Dhia Aisya Azman yang mengalami kerosakan hati dan jantung tahap serius.

Semua maklumat seperti kos rawatan serta nombor akaun di laman sosial itu turut dipaparkan dan paling mengejutkan kes tersebut mendapat perhatian serta ‘like’daripada orang ramai.

Mengikut rekod Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), seramai 22 pemilik akaun laman sosial, laman sesawang dan blog didakwa kerana menyalahgunakan medium ber-kenaan untuk pelbagai tujuan sejak 2010 hingga Mac 2016.

Sikap tidak bertanggungjawab ini bukanlah pertama kali, malah tangkapan pernah dilakukan gara-gara menghina kepimpinan negara namun, ia tidak pernah menginsafkan si pelaku.