Dalam keadaan hidup yang serba kekurangan, mereka terpaksa akur menjalani kehidupan di sebuah stor yang disewa sejak dua tahun lalu.

Namun dalam kedaifan itu, mereka tetap bersyukur apabila menerima bekalan air dan elektrik yang diberikan oleh pemilik gerai makan berhampiran kediamannya itu.

Menurut Fariza, kehidupan mereka tujuh beranak semakin tertekan apabila sumber pendapatan suaminya yang bekerja sebagai pemandu lori terjejas selepas lesen memandunya tamat tempoh.

Buat masa ini katanya, mereka bergantung kepada pendapatan suaminya sebagai pembantu gerai burger dan sumbangan daripada Baitulmal.

Fariza berkata, sebelum itu mereka sekeluarga menyewa di Puchong tetapi diusir keluar selepas gagal menjelaskan bayaran sewa.

“Di sini kami bayar sewa RM200 sebulan. Walaupun tiada kemudahan tetapi cukuplah sekadar tempat kami sekeluarga berteduh.

“Mujur ada bantuan bulanan daripada Baitulmal dan masjid berhampiran yang prihatin nasib kami sekeluarga,’’ katanya kepada Utusan Malaysia.

Fariza berkata, pada masa ini mereka sangat mengharapkan bantuan perumahan daripada kerajaan untuk membolehkan keluarganya berpindah ke rumah yang lebih selesa demi masa depan anak-anaknya yang masih bersekolah.

“Tempat tinggal sekarang sangat tidak selesa untuk anak-anak membesar dan belajar,’’ katanya.

Ditanya mengenai sambutan hari raya yang bakal tiba, Fariza berkata, Aidilfitri yang menjelang tiba tidak bererti kepada mereka sekeluarga.

Katanya, kesusahan hidup yang dilalui tidak memungkinkannya untuk meraikan hari raya seperti orang lain.

Tiga anaknya kini menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Petaling ialah Mohd. Fadi Shah, 15; Mohd. Isma Arif, 14; Khairun Najah, 13; manakala dua lagi di Sekolah Kebangsaan Petaling 1 iaitu Mohd. Ramadhan Fitri, 11 dan Umi Umairah, 8.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh berbuat demikian dengan menyalurkan sumbangan ke akaun CIMB (1205-1375-6305-22) atas nama Shahdi Abdullah atau hubunginya melalui talian 017-2456690.

Sumbangan juga boleh dibuat melalui akaun Pertubuhan Kebajikan Baitul Hasan Kuala Lumpur melalui akaun Bank Islam (1417-1010-0075-86) atau menghubu­ngi 017-3535085 (Ustaz Dino) atau 017-3505681 (pejabat).