JAMALIAH MUHAMMAD SHARIF
JAMALIAH MUHAMMAD SHARIF

Pengerusi Persatuan Usahawan Ukhuwah Selangor, Jamaliah Muhammad Sharif berkata, masalah berlaku berikutan peletakan jawatan ahli majlis JKP terdahulu selepas calon PKR diumumkan menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Beliau berkata, berlaku kekeliruan dalam pengagihan tapak jualan

yang menyebabkan pentindihan dan saiz lot tidak sama antara peniaga pasar pagi, pasar malam dan bazar Ramadan di situ.

“Sebelum ini memang tapak jualan sudah dibahagikan antara operasi pasar pagi dan pasar malam . Tetapi berlaku pertindihan tapak apabila pembahagian turut melibatkan peniaga bazar Ramadan.

“Selain pertindihan tapak, ada juga tapak-tapak yang berubah tempat dan mempunyai saiz yang tidak sama. Perkara ini jika tidak diselesaikan segera boleh mengundang perkara tidak baik,’’ katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Jamaliah berkata, masalah itu mungkin berlaku ketika kerja-kerja mengecat dan penentuan tapak jualan yang dilakukan oleh JKP pada 14 Mei lalu.

Bagaimanapun katanya, masalah yang dihadapi golongan peniaga itu masih tidak dapat diselesaikan kerana tiada pelantikan ahli majlis JKP yang baharu buat masa ini.

“Kami berharap pihak MPS dapat membantu menyelesaikan masalah ini mengikut undang-undang yang sepatutnya,’’ katanya.

Sehubungan itu, Jamaliah juga berharap proses penyerahan kuasa dan pelantikan ahli majlis JKP dapat dilakukan dengan segera bagi mengelak masalah daripada berpanjangan.

“Saya tidak menuding jari kepada sesiapa dalam soal ini tetapi berharap masalah ini dapat diselesaikan dengan cara yang baik menjelang Ramadan kerana penyewa-penyewa tapak sudah bersedia untuk berniaga,’’ katanya.