Mereka berkumpul sejak awal 6.30 pagi bagi menjayakan program amal Jom Bekpes di pekarangan bangunan Yayasan Chow, Kit, Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Jom Bekpes yang diperkenalkan oleh Institut Onn Ja’afar (IOJ) merupakan inisiatif pertama diadakan pada sebelah pagi di ibu kota bagi menyampaikan sumbangan berupa makanan dan minuman kepada gelandangan, anak-anak daripada Yayasan Chow Kit (YCK) dan insan lain yang tidak berkemampuan.

Program dengan kerjasama daripada YCK itu antara lain bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu meringankan beban yang ditanggung golongan berkenaan.

Seramai 40 sukarelawan terlibat terdiri daripada staf IOJ dan YCK selain dibantu penuntut dari Universiti Tun Abdul Razak (UniRazak), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM).

Ketua Pegawai Eksekutif IOJ, Charles Mohan berkata, program itu akan diteruskan selama setahun bermula 17 Februari dengan memfokuskan kepada tiga kawasan utama yang menjadi tumpuan gelandangan iaitu Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Pudu dan Jalan Petaling.

Katanya, Jom Bekpes berbeza dengan program yang diusahakan pihak lain kerana diadakan di waktu pagi bagi tujuan mengalas perut kepada golongan berkenaan sebagai permulaan menjalani kehidupan.

“Kami memperkenalkan program Jom Bekpes ini kerana melihat kepentingan sarapan dalam kehidupan seseorang.

“Oleh itu, pengambilan makanan di waktu pagi yang boleh memberi zat untuk membekalkan tenaga dan menjadikan tubuh badan sihat serta bersemangat” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pekarangan bangunan Yayasan Chow Kit atau KL Krash Pad, baru-baru ini.

Charles berkata, sumbangan makanan berupa nasi lemak dan sandwich serta minuman milo tanpa gula itu dibekalkan kepada kira-kira 250 golongan memerlukan termasuk kanak-kanak tidak bernasib baik dari YCK

Jelasnya, Jom Bekpes mendapat kebenaran daripada pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jom Bekpes berlangsung dalam suasana muhibah bermula pukul 6 hingga 9 pagi.

“Pogram ini jelas menunjukkan keprihatinan dan kesantunan masyarakat Malaysia yang tidak meminggirkan golongan yang tidak bernasib baik sebagai perkongsian atas nama kemanusiaan,” katanya.