Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Kamarul Ariffin Mohd. Jamil berkata, jangkaan lebih baik bagi prestasi kewangan 2019 itu akan dipacu oleh segmen perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta runcit.

“Angka tahun lepas adalah baik dan tahun ini ia dijangka merekodkan aliran yang sama seperti 2018 seiring program Transformasi Affinity yang akan berakhir pada 2020,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah bagi kempen OMG di sini hari ini.

Beliau berkata, bank itu turut menyasarkan pertumbuhan pinjaman antara enam dan tujuh peratus tahun ini.

“Kita juga akan memperkenal sistem baharu yang akan menambah baik perkhidmatan perbankan runcit serta mudah alih internet,” katanya.

Tambah Kamarul Ariffin, produk e-dompet Affin Bank dijangka dikeluarkan pada suku terakhir 2019.

Menurutnya, kempen OMG yang memasuki edisi ketujuh tahun itu menyaksikan sejumlah RM500 juta di depositkan sepanjang tempoh kempen enam bulan dengan 49,955 akaun baharu dibuka.

“Sumbangan kempen ini kepada deposit adalah besar sekali gus menjadikan pertumbuhan deposit runcit tahun ke tahun pada 11 peratus,” katanya.

Daripada 49,955 akaun baharu, sebanyak 36,000 adalah akaun deposit tetap manakala bakinya terdiri daripada akaun semasa dan akaun simpanan.

Sebanyak 92 pemenang bertuah memenangi hadiah bernilai RM700,000 termasuk kereta Mercedes Benz GLA selain pakej percutian semasa kempen OMG berlangsung tahun lalu. - BERNAMA