Malaysia Airlines mewakili 39.6 peratus daripada jumlah keseluruhan aduan yang diterima iaitu meningkat sehingga 291 kes berbanding dengan 157 jumlah aduan tahun sebelumnya manakala AirAsia dan Malindo Air masing-masing mewakili 23 peratus dan 22.9 peratus.

Dalam jumlah aduan tersebut, bilangan kes yang difailkan terhadap AirAsia menurun sebanyak 23.9 peratus manakala aduan terhadap Malindo Air menyaksikan peningkatan sebanyak 46.1 peratus.

Antara tiga kategori aduan tertinggi ialah aduan mengenai kehilangan, kerosakan dan kelewatan bagasi, pemprosesan bayaran balik dan penundaan penerbangan.

Selain itu, terdapat juga aduan terhadap kemudahan dan perkhidmatan lapangan terbang yang mana Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA 2 menerima majoriti aduan diikuti lapangan terbang di Sabah dan Sarawak.

Walau bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Mavcom, Jeneral (B) Tan Sri Abdullah Ahmad berkata, sebanyak 99.7 peratus daripada jumlah aduan tersebut telah pun diselesaikan dan menjadi bukti dedikasi Mavcom dalam melindungi hak pengguna.

“Mavcom mengalu-alukan pengguna untuk terus mengemukakan maklum balas mereka kerana kami yakin jumlah pengguna yang mengetahui dan memperkasakan hak-hak mereka merupakan sesuatu yang baik bagi sektor penerbangan dalam tempoh jangka panjang,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. - UTUSAN ONLINE