Walaupun terpaksa menempuh lalu lintas yang sibuk, masih ramai yang mengambil jalan mudah dengan melintas sewenang-wenangnya seolah-olah kemudahan itu tidak wujud.

Lebih membimbangkan laluan pintas untuk menyeberangi jalan itu menjadi laluan beratus-ratus murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Seri Gombak 2 dan SK Taman Seri Gombak 1 yang terletak berhampiran.

Utusan Malaysia difahamkan, kemudahan yang baharu disiapkan itu dibina oleh kerajaan selepas mempertimbangkan permintaan pihak Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) sekolah demi keselamatan pelajar.

Pemerhatian penulis di lokasi berkenaan semalam mendapati kebanyakan murid tidak menggunakan kemudahan jejantas yang disediakan dan lebih rela mempertaruhkan keselamatan diri untuk melintas jalan empat lorong yang sesak itu.

Lebih mengecewakan apabila terdapat ibu-bapa yang memimpin tangan anak-anak mereka untuk melalui lorong pintas di bawah jejantas berkenaan.

Bayangkan keadaan lalu lintas yang sesak terutama pada waktu puncak ketika pelajar sekolah hadir dan pulang dari sekolah.

Di sebalik kurangnya ke­sedaran sivik dan tingkah laku yang mengundang kemalangan itu, pemerhatian penulis mendapati terdapat beberapa kekeliruan berhubung reka bentuk dan persekitaran di kawasan jejantas berkenaan.

Pertamanya adalah laluan jalan pintas (jambatan kecil) di bawah jejantas yang sepatutnya sudah ditutup kepada laluan orang ramai sebaik sahaja jejantas berkenaan mula digunakan pada April lalu.

Penulis difahamkan, penutupan laluan berkenaan mendapat tentangan daripada orang ramai yang masih memerlukannya untuk berjalan ke perhentian bas yang terletak berdekatan.

Keduanya mengenai kewujudan garisan untuk melintas yang masih disediakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)seolah-olah memberi pilihan kepada orang ramai untuk menggunakan laluan berkenaan atau jejantas.

Jika diikutkan rasional penulis, keadaan seperti itu tidak sepatutnya berlaku atau mungkin dilakukan tanpa mematuhi atau mengambil kira aspek spesifikasi PBT yang sepatutnya.

Seterusnya adalah pembinaan pagar besi yang sepatutnya berfungsi sebagai pembahagi jalan tetapi mempunyai reka bentuk yang masih membenarkan orang ramai untuk ‘mencelah’.

Pendek kata, binaan pembahagi jalan itu tidak lebih sekadar hiasan semata-mata.

Sehubungan itu, pihak sekolah dan ibu bapa menyeru pihak berkuasa memantau dan mengambil langkah yang sewajarnya demi keselamatan orang ramai.