Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, ketika menuntut di tingkatan enam, beliau terpaksa keluar dari rumahnya di Rantau, Rembau seawal pukul 5.45 pagi untuk ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Ampuan Durah di sini.

Ujarnya, dia terpaksa menaiki bas dan turun di stesen bas di sini sebelum mengambil bas lain untuk ke sekolah tersebut sehingga dia kerap datang lewat. Bagaimanapun, ujarnya, kesusahan yang terpaksa dilalui tidak menghalangnya untuk berjaya dalam pelajaran.

“Hari ini situasi sudah berubah kerana sekolah dibina dekat dengan masyarakat berbanding zaman dahulu apabila masyarakat perlu mencari sekolah. Dengan kemudahan yang lebih baik disediakan kerajaan, tidak ada alasan untuk pelajar tidak berjaya dalam pelajaran mereka. Ibu bapa pula tiada ada alasan untuk tidak menghantar anak-anak ke sekolah.

“Kejayaan adalah milik semua, bukan hanya anak orang yang tinggal di bandar besar seperti Taman Tun Dr. Ismail atau Shah Alam boleh berjaya. Sebaliknya anak orang kampung, estet dan kampung baharu juga boleh berjaya,” katanya ketika berucap merasmikan SMK Bandar Baru Sri Sendayan dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengetua SMK Bandar Baru Sri Sendayan, Norida Omar. - UTUSAN ONLINE