Dengan fasiliti yang disediakan kepada pengunjung antaranya surau, tandas dan gerai makanan, R&R tersebut dilihat setanding dengan hentian yang terdapat di sepanjang lebuh raya utama negara.

Malangnya, jika diukur jumlah pengunjung yang singgah di kawasan berkenaan, amat jauh ketinggalan.

Tinjauan Utusan Malaysia hari ini mendapati situasi di perhentian itu terus sepi dengan ba­nyak ruang niaga masih kosong walaupun segala kelengkapan sudah tersedia.

Apa yang dapat dilihat hanya dua daripada 15 buah kedai yang beroperasi di situ.

Berdasarkan pemerhatian kebersihan persekitaran, tandas dan surau amat memuaskan selain landskap menarik, namun keadaannya sepi ekoran tiada pengunjung.

Rata-rata peniaga dan pengunjung yang ditemui melahirkan rasa terkilan dengan kea­daan itu dan mengesa pihak Lekas segera melakukan sesuatu.

Difahamkan, antara faktor yang dikenal pasti menjadi punca R&R Beranang tidak dikunjungi pelanggan adalah kurang promosi dan lebuh raya itu tidak ramai pengguna melaluinya.

Utusan Malaysia difahamkan, sejak dibuka lebih lima tahun lalu, bilangan pengunjung sangat sedikit berbanding R&R lain.

Sedangkan dari segi kemudahan, R&R berkenaan memiliki kemudahan kelengkapan sama seperti di tempat lain.

Ini termasuk tempat letak kereta dan bas yang luas.

Peniaga mengeluh, tidak mustahil mereka terpaksa gulung tikar sekiranya masalah kurang mendapat sambutan itu berterusan.

Difahamkan, peniaga makanan di situ hanya memperolehi pendapatan harian tidak melebihi RM100 sehari dan jika bernasib baik, mencecah RM300 pada hujung minggu.

Disebabkan itu juga ramai peniaga menarik diri kerana tidak mahu mengambil risiko kerugian.

Sehubungan itu pihak Lekas diminta mencari mekanisme terbaik sebagai langkah menghidupkan perhentian itu sekali gus menyelamatkan peniaga yang sedia ada daripada gulung tikar.

Usaha promosi juga dijangka menyelamatkan hentian yang bernilai ratusan ringgit itu tidak menjadi sebuah projek gajah putih.