Situasi ini terus menimbulkan persoalan kepada kira-kira 5,000 penduduk sekitar taman itu sampai bilakah mereka terpaksa hidup dalam kebimbangan.

Penduduk mendakwa punca kepada masalah tersebut sudah diketahui, tetapi masih belum diselesaikan pihak bertanggungjawab.

Bukan sehari dua bekalan air di kawasan itu terjejas, sebalik-nya lebih seminggu setiap kali berlaku paip pecah.

Kejadian yang terlalu kerap ia­itu tiga kali seminggu sejak Di-sember tahun lalu bukan sahaja menjejaskan rutin harian penduduk, tetapi juga peniaga di kawasan berhampiran.

Utusan Malaysia difahamkan, lebih 10 notis berhubung gangguan air disebabkan paip pecah diterima penduduk daripada Kumpulan Air Selangor sejak bulan lepas.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Nirwana Fasa Dua, C.J. Ference mendakwa, masalah tersebut jelas membuktikan kerajaan negeri gagal menyelesaikan isu gangguan air di kawasan itu.

Menurutnya, paip usang yang tidak pernah ditukar lebih 35 tahun di kawasan itu turut menjadi punca gangguan tersebut.

“Masalah ini benar-benar memberi tekanan kepada penduduk dan peniaga,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Kompleks Muhibbah, Taman Nirwana.

Menurut C.J. Ference, sehubu­ngan itu penduduk menggesa Kumpulan Air Selangor melaksanakan segera kerja-kerja penggantian paip-paip usang di sekitar kawasan itu bagi menyelesaikan isu tersebut.

Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Kumpulan Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, pihaknya sedia maklum mengenai perkara tersebut.

Katanya, penggantian paip jenis simen asbestos berusia lebih 30 tahun dengan yang baharu di kawasan tersebut akan dilaksanakan.

“Pemasangan injap bagi me­ngawal tekanan air akan dilakukan dalam usaha mengurangkan kejadian paip pecah,” katanya.