Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Desa Temuan, Norazman Jamalim berkata, aktiviti urus niaga secara menyewa tapak ini merupakan pendedahan yang baik bagi mengetengahkan kemahiran jual beli secara terus dengan masyarakat luar.

Katanya, sambutan dan penerimaan orang ramai dan masyarakat Orang Asli sendiri khususnya di Desa Temuan di sini menunjukkan satu anjakan yang baik dalam percubaan mendalami selok-belok berniaga dan menjaja di pasar pagi.

“Ini secara langsung mampu beri pulangan yang baik dari sudut kewangan kepada keluarga mereka dengan menjual produk kraftangan dan hasil hutan seperti herba dan pelbagai pucuk ulaman yang sebelum ini hanya untuk keperluan keluarga sahaja.

“Sudah masuk minggu keempat penganjurannya dan kebetulan hari ini dianjurkan serentak Hari Kelurga dengan jemputan kehadiran dari 10 kampung Orang Asli sekitar Lembah Klang termasuk dari Bentong, Pahang,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

‘Sunday Market’ Desa Temuan beroperasi pada hari Ahad minggu ke dua setiap bulan dan dibuka pukul 8 pagi hingga 4 petang turut menempatkan jualan produk makanan dan pakaian yang mendapat sokongan penganjurannya daripada Universiti Malaya dan Pertubuhan Iqra Malaysia. - UTUSAN ONLINE