Wakil penduduk, M. Nadarajan berkata, desakan itu dilakukan ekoran lebih 20 buah rumah di kawasan tersebut mengalami kerosakan se­­perti retak pada dinding dan lantai.

Beliau ber­kata, selain itu pemaju didapati ingkar mematuhi syarat tempoh waktu operasi di tapak pembinaan yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerja-kerja yang dijalankan sehingga pukul 3 pagi benar-benar menjejaskan ketenteraman dan mengganggu waktu tidur penduduk.

“Sejak projek itu dijalankan hampir tiga tahun lalu itu ia turut mengancam kesihatan dan keselamatan apabila ada sisa bahan binaan yang ‘terbang’ memasuki rumah penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Tambah Nadarajan, pernah berlaku cermin kereta seorang penduduk pecah disebabkan terkena bahan binaan yang terjatuh daripada tapak projek berkenaan.

“Sepanjang kerja-kerja dilaksanakan di tapak projek, pemaju perlu mematuhi aspek keselamatan ditetapkan PBT bagi memastikan penduduk berhampiran tidak terdedah bahaya.

Sementara itu, penjaga Pusat Kebajikan Nuri, Mariam Ibrahim memberitahu, sejak projek itu dilaksanakan anak-anak di bawah jagaannya tidak dibenarkan bermain di luar bagi mengelakkan sebarang masalah.

“Kami amat bimbangkan kesihatan anak-anak ini yang kemungkinan boleh terdedah dengan pelbagai masalah kesihatan seperti batuk, gatal dan selesema disebabkan banyak habuk dan debu berterbangan dari tapak projek.” ujarnya.