Penganjuran edisi kelima itu mengangkat tema ‘Gaya Hidup Sihat: Seimbang Kerja & Riadah’ dengan enam kategori iaitu Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, Lelaki Veteran dan Wanita Veteran bagi jarak 12 kilometer serta dua lagi kategori iaitu sembilan kilometer Lelaki Terbuka dan Wanita Terbuka.

Ketua Projek MPI Generali Run 2016, Jayne Liew berkata, MPI Generali Run 2016 diharap menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus menitikberatkan acara santai bersama keluarga selain sebagai suatu bentuk penghargaan kepada pengikut setia larian tersebut.

“Selain mempertandingkan enam kategori larian, turut diadakan larian santai sejauh tiga kilo­meter yang memberi peluang kepada keluarga serta rakan-rakan beriadah bersama berjalan menikmati udara segar sekitar Padang Merbok.

“Selain itu acara kebajikan melalui Projek Niat Murni berjaya mengumpul 267 pasang kasut dan sekitar 1,490 pakaian untuk disumbangkan kepada masyarakat Orang Asli di Kampung Air Terentang, Kampung Bukit Baja, Kampung Tanjung Rampai dan Kampung Ulu Tual Pos Senderut di Pahang,” katanya.

Menariknya tentang larian kali ini, beberapa aktiviti sampingan turut diadakan di garisan penamat seperti kiosk penaja yang menyajikan pelbagai makanan percuma selain acara membentuk belon gergasi dan demonstrasi urutan kaki.

Menurut Jayne, beberapa sesi klinik larian dianjurkan buat pelari baru dan berpengalaman supaya mereka dapat membiasakan diri dengan laluan larian di mana ia menerima sambutan menggalakkan terutama dalam kalangan generasi muda.

“Acara larian ini akan diteruskan pada tahun depan dan berharap le­bih ramai warga kota dapat mengambil bahagian dalam acara sebegini untuk bersantai bersama keluarga dan rakan-rakan,” katanya.