Ramai warga kota masih gagal mengamalkan pengasingan sisa pepejal walaupun kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah termasuk penyediaan sangkar khas mengikut kategori iaitu kertas, plastik dan kaca.

Skuad Terjah minggu ini meninjau beberapa kawasan perumahan dan komersial sekitar ibu negara untuk melihat sejauh mana kesedaran mereka tentang amalan ini.


KUALA LUMPUR 28 Sept.  -  Bagai tongkang pecah selepas taufan. Begitulah gambaran keadaan sangkar khas kitar semula di beberapa perumahan bertingkat di ibu negara. 

Berdasarkan pemerhatian, pelbagai sisa pukal seperti tilam terpakai, perabot lama dan barangan elektrik memenuhi bahagian atas sangkar.

Lebih teruk ada longgokan sampah sarap dibuang di luar sangkar tersebut sehingga menjejaskan persekitaran kawasan perumahan di situ.

Tinjauan Skuad Terjah di beberapa kawasan perumahan dan komersial awam di Kerinchi dan Bandar Tun Razak di sini mendapati sangkar pengasingan sisa pepejal yang boleh dikitar semula itu terus disalah guna.

Usaha Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mewujudkan kemudahan itu seolah-olah tidak disambut dengan tangan kanan majoriti penduduk terutama di kawasan perumahan strata.

Tiga sangkar yang diasingkan mengikut kategori iaitu kertas, plastik dan kaca itu tidak beri makna apa-apa kepada penghuni yang secara semberono membuang sampah sarap di sana sini.

Lebih memburukkan keadaan, tindakan segelintir penampal iklan haram menjadikan sangkar kitar semula sebagai mangsa.

Perit mata memandang, perit lagi kontraktor yang ditugaskan mengutip dan menguruskan kesemua sampah sarap di kawasan itu.

Situasi in jelas menggambarkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pengasingan sisa pepejal masih rendah.

Jika keadaan ini berterusan tentu sekali menyukarkan pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan awam lebih berkesan. Kepada penghuni, tepuk dada, tanya selera.