Lebih istimewa apabila program itu turut diserikan dengan kehadiran Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pengerusi Barisan Nasional Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.

Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata, program julung-julung kali itu dijadikan platform dalam mengeratkan hubungan sesama masyarakat, menyimpul tali persaudaraan dan mengukuhkan perpaduan yang sedia terjalin.

“Saya berbesar hati melihat begitu ramai yang hadir pada malam ini dek kekuatan hubungan kita selain sikap sentiasa mengambil tahu terhadap sesuatu isu yang berlaku sama ada di dalam negara atau di negeri Kelantan.

“Saya harap usaha ini diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan program ini memberi kesan kepada pemimpin turun padang mendekati dan beramah mesra dengan rakyat,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.

Program yang bermula pada pukul 8 malam hingga 12 malam itu diisi dengan pelbagai aktiviti antaranya jamuan rakyat, ceramah agama dan cabutan bertuah. - UTUSAN ONLINE