Kepelbagaian spesies dan biodiversiti di bawah permukaan air itu bagaimanapun tidak semua­nya dapat dilihat oleh mata kasar, apatah lagi daripada jutaan hidupan di laut hanya satu perempat daripadanya berjaya direkodkan.

Usaha itu bukan sesuatu yang mudah dilakukan bahkan mencecah kos yang sangat tinggi selain penggunaan teknologi canggih seperti dokumentari yang biasa kita tonton dalam rancangan National Geographic.

Hakikatnya, untuk melihat sendiri hidupan akuatik di celah terumbu karang walaupun di dalam negara sendiri, perbelanjaannya tidak murah. Itu belum pun mengambil kira jika mahu terlibat dalam aktiviti seperti snorkeling atau selam skuba.

Namun ada cara yang lebih ekonomi untuk ‘menjelajah lautan’ bahkan boleh membawa bersama seluruh ahli keluarga tanpa memerlukan sebarang kelengkapan atau mengikuti kursus atau latihan yang diwajibkan seperti yang diperlukan dalam selam skuba.

Semua itu boleh dilakukan dengan lawatan singkat ke tingkat dua gedung beli-belah The Shore Shopping Gallery yang terletak di sebelah Sungai Melaka dan me­langkah masuk ke dalam The Shore Oceanarium untuk menikmati pengalaman mengujakan.

Tidak ubah seperti menyelam ke dasar laut, setiap sudut memberi rasa takjub bagi golongan kanak-kanak bahkan cukup mengujakan bagi pengunjung dewasa.

Pengarah Urusan The Shore Oceanarium, Chew Chert Fong berkata, tarikan pelancong baharu di negeri bersejarah itu mula beroperasi sejak 2014 yang sehingga kini sudah menerima 1.2 juta pengunjung walaupun terowong di dalamnya belum dimuktamadkan pembinaannya.

“Terowong itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan lagi. Terdapat paparan info, grafik dan video 3D yang memberi peluang kepada pengunjung untuk merasai pengalaman baharu yang menyeronokkan,” katanya lagi.

Setiap sudut lokasi tarikan pelancongan dipenuhi dengan kepelbagaian spesies beraneka warna yang mungkin tidak pernah dilihat selain ikan yu dan juga kumpulan pirana yang ter­kenal sebagai pemangsa digeruni di Amazon.

Ekplorasi pengunjung dalam dunia marin di The Shore Ocea­narium bukan sahaja peluang melihat dengan dekat kira-kira 300 spesies ikan berbeza selain batu karang, landak laut, penyu dan obor-obor kerana banyak tarikan lain yang menjadikan tempat ini unik.

Bahagian Interactive Touch Pool, Jungle Quest, Sea Shells Museum, River Story, Dangerous Marine Species, Shark Quest, Ocean Journey, Ocean Theatre, Living Fossil, Fun Freakish dan Shark Cage adalah yang wajib dikunjungi terutama golongan pelajar.

Tidak sekadar melihat, pengunjung juga berpeluang men­yentuh gamat, tapak sulaiman, haiwan bercengkerang malah ikan yu di kolam khas yang dipantau oleh kakitangan.

Paling mendapat perhatian adalah pengunjung boleh memasukkan tangan untuk meme­gang parrot fish dalam akuarium besar tanpa air melimpah keluar.

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan melayari laman web www.oceanariummelaka.com atau menghubungi bahagian Jualan dan Pemasaran The Shore Oceanarium melalui email [email protected] atau menghubungi talian 06-282 9966.