Itu antara luahan rasa terkilan peniaga di Pasar Malam Lorong Tunku Abdul Rahman (TAR), di sini yang menuntut supaya tapak itu dikekalkan dan tidak dipindahkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Peniaga mendakwa, pemindahan tapak pasar malam ke lokasi lain akan menyebabkan perniagaan mereka terjejas kerana lokasi baharu tidak akan dapat menandingi lokasi sedia ada.

Selain itu dakwa mereka, penutupan tapak pasar malam yang sudah sinonim dan dekat di hati masyarakat seolah-olah membunuh kawasan itu yang dianggap seperti jantung ekonomi di ibu kota.

Timbalan Pengerusi Persatuan Peniaga dan Penjaja Lorong Tuanku Abdul Rahman, Roslan Abd. Ghani berkata, khabar angin mengatakan tapak itu akan ditutup ter­nyata mengejutkan kerana pihaknya dan peniaga tidak pernah dibawa berbincang dan dimaklumkan secara rasmi mengenai perkara itu.

“Kami hanya dimaklumkan mengenai penutupan tapak dan cadangan pemindahan ini menerusi laporan berita yang disiarkan oleh media pada 12 Mac lalu.

“Peniaga juga tidak tahu ke mana mereka bakal dipindahkan, sekali gus menimbulkan kegelisahan memandangkan arahan itu akan dilaksanakan dalam tempoh yang singkat bermula 6 April ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan bantahan bersama kira-kira 50 peniaga tapak Pasar Malam Lorong TAR di sini.

Roslan mendakwa, pemindahan ke kawasan lain itu tidak akan menyelesaikan sebarang masalah sebaliknya mungkin akan menjejaskan nasib ratusan peniaga di kawasan berkenaan.

“Selain itu, ia turut melibatkan penyusunan lot peniaga sebanyak 550 petak yang memerlukan kawasan sepanjang 800 meter sehingga satu kilometer dengan kelebaran 10 meter selain memerlukan pembangunan infrastruktur dan sebagainya,” katanya.

“Keputusan memin­dahkan pasar malam setiap hari Sabtu itu menandakan berakhirnya satu-satu pusat aktiviti ekonomi orang Melayu di pusat bandar yang terkenal dan menjadi tarikan pengunjung tempatan dan luar negara,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang mewakili peniaga menuntut supaya Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad turun padang untuk melihat keadaan sebenar pasar malam itu, sekali gus mendengar pandangan peniaga bagi menyelesaikan permasalahan itu.

“Sekurang-kurangnya beliau datang berjumpa kami dan peniaga ataupun mengadakan sesi dialog sebelum membuat keputusan,” katanya.

Utusan Malaysia difahamkan, tapak yang dibangunkan sejak 20 tahun lalu itu bakal dipindahkan ke lokasi lain bagi memberi laluan kepada kerja-kerja projek River of Life (RoL) dan naik taraf sebagai kawasan mesra pejalan kaki di kawasan terbabit.