Kebanyakan peniaga warga asing ini akan melakukan timbangan secara pukal iaitu me-nimbang semua barangan dengan meletakkan harga mereka sendiri, timbang dengan tidak betul atau melakukan kiraan secara pantas bagi mengaburi pelanggan.

Bagi mereka yang tidak arif dengan taktik ini sudah pasti merasakan tindakan peniaga di kebanyakan pasar borong sekitar ibu negara yang mana ia dimonopoli oleh warga asing itu sebagai tidak ‘berkira’ dalam jualan malah harga yang diberikan juga berpatutan.

Peniaga warga asing ini juga dikatakan menipu timbangan dengan cara mengambil satu dua barangan yang telah ditimbang itu tanpa diketahui pembeli walaupun pada awalnya timbangan yang dibuat mengikut harga pasaran.

Rata-rata peniaga dan pe-langgan yang ditemui Utusan Malaysia di Pasar Borong Selangor di Pusat Bandar Putra Permai, Seri Kembangan dekat sini mendakwa, kebanyakannya tidak sedar ditipu dan hanya diketahui selepas ramai yang membuat aduan.

Peniaga sayur-sayuran, Ikhmer Kamal, 34, berkata, dia tidak mempunyai masalah dengan peniaga warga asing yang berniaga di sini namun kerap mendapat aduan daripada pe-langgan yang memberitahu barangan diterima tidak berbaloi dengan harga dibayar.

“Persaingan dalam perniagaan itu biasa tidak kira antara peniaga tempatan mahupun warga asing kerana kami berniaga mengikut harga pasaran.

“Namun tidak dinafikan ada antara mereka yang menipu timbangan selepas ramai pe­langgan yang mengadu berlaku ‘curi kilo’ selepas membuat perbandingan apabila membelinya di sini,” katanya.

Peniaga ayam, Zamri Mohammad, 49, berkata, sepanjang 18 tahun berniaga di situ dia kerap mendengar aduan berlaku ‘curi kilo’ bagi jualan sayur-sayuran dan makanan laut terutama ikan.

“Tidak boleh salahkan mereka juga kerana pemilik kedai sendiri mengambil jalan mudah dengan menyerahkan jualan kepada peniaga asing tanpa memantaunya. Janji jumlah keuntungan yang pemilik mahukan setiap bulan mereka dapat.

“Kami yang menjual ayam bernasib baik tidak mempunyai kes seperti itu kerana kesemua peniaga merupakan orang tempatan dan perkara seumpama itu tidak pernah berlaku,” katanya.