Menjanjikan suatu pengalaman cita rasa ‘ala kampung’ yang pasti tidak dapat dilupakan, pelanggan disajikan dengan 100 jenis hidangan.

Semua menu yang disediakan sama ada hidangan utama, minuman dan pencuci mulut akan membuat pengunjung terkenang kembali saat manis menjamu selera bersama keluarga dan rakan-rakan di kampung.

Pengurus Besar Kelab Darul Ehsan, Karen Ng berkata, walaupun masakan ala kampung merupakan hidangan kegemaran warga kota namun, jarang didapati di ibu negara.

“Kita memilih menu tradisional ini sebagai juadah berbuka puasa bagi memberi kepuasan kepada pelanggan yang menginginkan masakan kampung di samping dapat menarik lebih ramai pelanggan datang ke sini.

“Antara menu yang disediakan adalah ayam bakar, ikan patin masak tempoyak, sambal petai dengan udang, sayur pucuk paku tumis, gulai lemak ketam dan nenas serta pulut durian yang sangat menyelerakan,” katanya kepada Utusan Online di sini baru-baru ini.

Tambah Karen, pihak KDE hanya menggunakan bahan yang segar dalam masakan selain dimasak oleh chef berpengalaman.

“Harga yang ditawarkan sangat berbaloi iaitu RM59 seorang. Bagaimanapun, kami menawarkan promosi untuk tiga hari pertama bulan Ramadan dengan harga RM48 seorang.

“Restoran kami mula beroperasi pukul 7 pagi namun, berbeza ketika bulan puasa iaitu dibuka pada 6 petang hingga 10 malam,” katanya.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh hubungi di talian 03-42511471 dan 03-42516567 atau layari laman web www. berjayaclub.com/kde. - UTUSAN ONLINE