Pengerusi Eksekutif Kumpulan AquariaKLCC, Datuk Simon Foong berkata, pertunjukan ‘An Undersea Opera’ itu diadakan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini bagi menarik lebih ramai pengunjung dari dalam dan luar negara.

“Sebelum ini kita hanya mempersembahkan tarian singa sahaja bagi setiap tahun baharu. tetapi kali ini kami mengambil inisiatif untuk mencari kelainan dengan mempersembahkan opera dan tarian singa yang beraksi dalam dasar laut,” katanya kepada pemberita.

Foong berkata, lebih 50,000 pengunjung hadir menyaksikan pertunjukan itu sepanjang musim cuti perayaan baru-baru ini sekali gus melepasi sasaran yang ditetapkan.

“Kita tidak menjangkakan persembahan kali ini mendapat sambutan yang menggalakkan, oleh itu ia akan diteruskan pada masa-masa akan datang,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE