Menurut penganjur #FreeMarketPUTRAJAYA, Azmin Ishak, konsep ini menyerupai pasar lambak tetapi pengunjung hanya perlu datang bersama beg plastik masing-masing dan ambil barangan yang diingini di setiap gerai secara percuma.

Katanya, program kali kedua diadakan di Putrajaya mendapat sambutan menggalakkan dan kali ini berjaya mencatat kehadiran lebih 2,000 pengunjung ke acara itu yang hanya berlangsung selama dua jam.

“Sebanyak 120 gerai menyertai program ini yang turut me-nyumbang barangan keperluan harian, pakaian dan perkhidmatan pemeriksaan gigi dan rawatan spa tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Menurut Azmin, pihaknya cukup berbesar hati kerana program itu turut mendapat kerjasama Perbadanan Putrajaya (PPj) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

“Kita hanya menguar-guarkan program pada dua minggu lalu, tetapi dalam tempoh tersebut ramai yang berminat termasuk dari seluruh negeri untuk menyertai program ini.

“Program ini berbentuk komuniti ini juga bertujuan membantu antara satu sama lain atau yang berkeupayaan menolong yang lemah,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, lokasi ‘#FreeMarketPUTRAJAYA’ terus dibanjiri pengunjung dan penyumbang sejak awal pukul 8 pagi yang turut berkesempatan menyumbang barangan keperluan harian seperti beras, sayur, tepung dan gula.

Seorang pengunjung, Hazilah Mohd. Noor, 33, berkata, penganjuran program seumpama itu amat baik dan perlu diteruskan pada masa akan datang.

“Ini sekaligus dapat membantu golongan yang memerlukan,” katanya.

Bagi penyumbang pula, Khairul Hashim, 42, #FreeMarketPUTRAJAYA merupakan usaha terbaik untuk memberi peluang kepadanya memberikan barangan yang tidak sudah digunakan kepada orang lain.

“Daripada barangan seperti pakaian dan kasut dibuang begitu sahaja, lebih baik disalurkan kepada pihak memerlukan,” katanya.