Perhimpunan melibatkan 65 persatuan penduduk, peniaga, badan bukan kerajaan (NGO) dan badan pengurusan bersama (JMB) sekitar Selayang dan Batu Caves itu bertujuan menyerahkan memorandum rayuan selepas bantahan mereka sebelum ini tidak dipedulikan pihak berkuasa berkenaan.

Setiausaha Jawatankuasa Kerja Rayuan Membatalkan Lokasi Pusat Penyembelihan Ayam (PPA), Abdul Aziz Mohd. Alias berkata, pembinaan pusat penyembelihan ayam berskala besar itu tidak sepatutnya diluluskan oleh DBKL kerana terletak berhampiran kawasan perumahan dan tumpuan orang ramai.

Selain itu beliau mendakwa, projek berkenaan akan menyebabkan masalah kesesakan di sekitar pasar borong itu bertambah kritikal ekoran kemasukan lebih banyak lori.

“Operasi pusat penyembelihan itu dikhuatiri akan menyebabkan pencemaran bau termasuk masalah perparitan dan ancaman penyakit berjangkit,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan itu di sini hari ini.

Memorandum diserahkan oleh Pengerusi PPA, Datin Paduka Khatijah Sulieman kepada Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Pembangunan DBKL, Azmi Abdul Hamid.

Turut hadir, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng yang menyaksikan penyerahan memorandum tersebut selain menyatakan sokongan membantah pembinaan projek tersebut. - UTUSAN ONLINE