Program khidmat masyarakat selama tiga hari bermula 8 Februari lalu itu bertujuan memupuk kesedaran mahasiswa mengenai keperluan menyumbang ilmu dan kepakaran kepada masyarakat.

Penasihat program, Bahtiar Mohd. Nor berkata, program itu dirangka bagi memenuhi keperluan pengajaran dan pembelajaran sebagai projek akhir subjek komunikasi korporat melalui penganjuran aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Ini merupakan sebuah aktiviti kemasyarakatan yang merangkumi pengukuhan semangat kekeluargaan, gotong-royong, perkongsian ilmu dan pengurusan serta penganjuran majlis rasmi.

“Diharapkan ia dapat memberi pengalaman bermakna kepada mahasiswa mengenai selok-belok dan cabaran menganjurkan aktiviti CSR selain mewujudkan kerjasama erat antara satu sama lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mohamad Halil Fikri berkata, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program itu berlangsung antaranya gotong-royong, ceramah agama, sukaneka, tahsin solat serta persembahan nasyid dan marhaban selain program keluarga angkat.

Katanya, program itu diharap dapat diteruskan lagi pada masa akan datang sebagai platform untuk mengetahui dan memahami keperluan komuniti, sekali gus memupuk mahasiswa yang prihatin dan cakna terhadap kelompok tersebut. - UTUSAN ONLINE