Pengarah Bahagian Pertanian Bandar, Jabatan Pertanian, Azmi Daud berkata, program hasil inisiatif pihaknya dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta persatuan penduduk itu melibatkan peruntukan sebanyak RM5 juta.

“Bagi tahun ini pula, seramai 17,000 orang peserta di 480 lokasi disasarkan terlibat dalam program tersebut dengan peruntukan sebanyak RM3.25 juta.

“Saya berharap kempen dan promosi akan dipertingkatkan lagi untuk menarik lebih ramai penduduk bandar menyertainya,” katanya kepada Utusan Malaysia dalam program Pertanian Bandar peringkat Parlimen Lembah Pantai, di sini.

Yang hadir sama Pengerusi Barisan Nasional Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Pengerusi Peme-gang Amanah Yayasan Myprihatin, Prof. Datuk Dr. Halimaton Hamdan dan Pengerusi Persatuan Penduduk PPR Seri Cempaka, Kamaruddin Abd. Hamid.

Menurutnya, program berke­naan memberi impak besar kepada seisi keluarga kerana dapat menjimatkan perbelanjaan dapur bagi keperluan sayur-sayuran dan ulam-ulaman iaitu sebanyak RM35 setiap minggu.

Sementara itu, Raja Nong Chik berkata, sejak diperkenalkan lebih 1,000 masyarakat di kawasan Lembah Pantai menerima manfaat me­nerusi program tersebut.

“Program ini bukan sahaja dapat menjalinkan hubungan sosial malah membantu dalam memperkasakan ekonomi, menjimatkan perbelanjaan isi rumah dan mengindahkan kawasan persekitaran,” katanya.

Pada program itu, pelbagai je­nis anak pokok seperti limau kasturi, lada dan sawi diagihkan kepada penduduk PPR Seri Cempaka untuk diusahakan di kawasan persekitaran dan kediaman mereka.