Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan berkata, usaha itu merupakan inisiatif di bawah projek Labuan Go Green yang memfokuskan penanaman pokok buah-buahan bagi merancakkan ekonomi pertanian di wilayah itu.

“Anak-anak pokok durian ini akan ditempatkan di nurseri Jabatan Landskap Perbadanan Labuan untuk penjagaan semula sehingga tempoh tertentu. Pokok-pokok tersebut seterusnya akan diagihkan kepada 27 kampung untuk ditanam secara berkelompok.

“Usaha ini diharap dapat memberi manfaat kepada warga Labuan khususnya untuk tempoh lima tahun akan datang seterusnya memberi nilai tambah bagi membangunkan semula ekonomi di wilayah ini,” katanya.

Tambah beliau, kementerian turut menyasarkan sebanyak 10,000 lagi anak pokok terdiri daripada durian dan harumanis untuk dibawa ke Labuan.

Terdahulu, Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad melancarkan penerbangan sulung syarikat penerbangan Malindo Air dari Kuala Lumpur ke Labuan melalui KLIA. - UTUSAN ONLINE